Pada satu ketika, saya diamanahkan
seorang pelajar bernama Sri. Dia seorang anak kecil yang comel dan…sensitif. Oleh
kerana sesi dengan Sri hanya pada hari Sabtu, dan kebetulan hanya Sri seorang
sahaja pelajar saya, jadi sesi pembelajaran berlaku secara one-to-one session.
Saya ambil pendekatan biasa
pada awal proses pembelajaran. Cabarannya, Sri amat mudah menangis. Tak boleh
tanya berulang kali, tak boleh tinggi suara walau sedikit, dia akan menangis. Dan
bila situasi ini berlaku, saya tak kan boleh teruskan pengajaran. Saya perlu
tenangkan dia semula sebelum kelas dapat diteruskan. Adakalanya Sri akan
berlari kepada ibunya yang sedia menunggu di luar kelas sepanjang beberapa
minggu pertama Sri menyertai kelas ProMaths.
Saya yakin objektif saya tidak
boleh dicapai kalau situasi ini berlarutan. Jadi saya ubah pelan. Beberapa sesi
selepas itu, saya mengajar tetapi dengan pendekatan yang lebih ‘main-main’. Saya
mahu pikat hati dia supaya suka dan selesa dengan gurunya.
Sri antara contoh pengalaman
saya mengendalikan pelajar cilik yang ‘lembut’ hati. Tetapi saya tidak
meletakkan Sri sebagai kes terpencil kerana misi saya kepada semua
pelajar adalah sama. They must be happy and enjoy in my class! Or else, my
efforts are worthless.
Jujurnya saya ‘pantang’ kalau
dengar guru menjerit-jerit kepada anak murid khususnya anak pelajar kecil yang
masih hijau dan ‘kurang akal’. Guru sewajarnya bijak menggunakan karakter dan nada suara ketika
mendidik pelajar yang berbeza peringkat usia. Sudahlah mereka ‘dipaksa’ hadir
ke sekolah, dipaksa menyerap segala ilmu yang diajarkan guru, dimarah-marah
pula. Psikologi siapa yang akan tercalar? Adakah matlamat P&P boleh
dicapai?
Terdapat perbezaan jelas
antara meninggikan suara dan menjerit. Kayu ukur saya, nada suara menjerit
lebih tinggi dan ‘kasar’ dan cenderung disertai rasa marah berbanding meninggikan
suara. Saya biasa berdepan dengan situasi begini tetapi saya pastikan wajah
saya masih ada senyuman kerana ketika arahan dikeluarkan, saya mahu pelajar
tahu saya bukan ‘marah-marah’ supaya tidak wujud jurang antara saya dan mereka.
Ya, prestasi pelajar adakala membimbangkan kerana pencapaian yang perlahan dalam rekod prestasi pembelajaran. Kerana inilah kaedah belajar ProPintar diwujudkan untuk membantu mereka menguasai sesuatu pelajaran mengikut tahap IQ masing-masing. Apa yang lebih utama ialah memastikan mereka sentiasa teruja untuk hadir ke sekolah setiap hari untuk belajar dengan guru. Ini adalah situasi 'win-win' antara guru dan pelajar.