Selamat bercuti bersama anak-anak sempena musim cuti sekolah ini yang masih berbaki lebih kurang 4 minggu lagi sebelum sesi persekolah 2013 bermula Januari akan datang. Jadi, selain makan angin, apalagi program yang telah anda sediakan untuk anak-anak? Jangan lupa ya ibu dan ayah, walaupun sekolah berehat selama 2 bulan namun minda anak-anak tetap memerlukan pengisian dan kesinambungan momentum pembelajaran di sekolah yang perlu dilaksanakan di rumah. Alhamdulillah, ada ibubapa yang mengambil inisiatif menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk mengelakkan anak-anak membuang masa begitu sahaja pada musim cuti ini. Langkah sebegini amat molek untuk anak-anak yang lemah dan tidak mempamerkan prestasi memuaskan dalam penggal persekolahan lalu.
Saya ingin
berkongsi secara ringkas bagaimana ibubapa boleh membuat penilaian tahap
penguasaan Matematik yang ada pada anak-anak. Jika penilaian yang dibuat adalah
berdasarkan kepada peratusan angka markah yang dicapai atau pada nilai gred B
dan ke bawah yang tercatat di dalam kad laporan prestasi sekolah, maka saya
sarankan anda teliti lebih mendalam punca masalah sebenar anak-anak masih
menghadapi masalah untuk menguasai subjek Matematik khususnya bagi anak-anak
berusia sekitar 8 tahun dan ke atas. Ada kemungkinan kemahiran congak yang
merupakan kemahiran paling asas dalam subjek Matematik masih lemah dan acapkali
ibubapa atau guru terlepas pandang kerana lebih mengambil berat kemahiran
anak-anak menyelesaikan soalan-soalan berbentuk penyelesaian masalah sahaja.
Panduannya,
cuba beri satu soalan penyelesaian masalah dan minta anak anda selesaikan.
Berikan masa untuk dia memikirkan langkah-langkah dan operasi yang perlu
digunakan. Perkara yang saya mahu anda perhatikan ialah ketika dia membuat
kira-kira, adakah kiraannya perlahan, teragak-agak, sering memadam kesilapan,
menulis posisi nombor secara salah atau hasil congaknya salah. Jika ciri-ciri
di atas ada pada anak anda, maka yakinlah bahawa anak anda memerlukan latihan
intensif asas congak nombor yang dapat membantu memperbaiki kemahiran congak dengan
lebih cepat dan tepat.
Terdapat 3
ciri yang diklasifikasikan sebagai lemah asas congak nombor:
Lemah konsep Matematik dan lambat mencongak
Anak-anak tidak mampu mencongak dengan tepat dan mengambil
masa yang lama sebelum mendapat jawapan yang betul. Ada kemungkinan mereka juga
tidak memahami konsep susunan nombor (number sequence) yang merupakan
panduan melakukan operasi asas tambah dan tolak seperti +2 bermaksud nombor
ke-2 selepas nombor yang ditambah atau -2 bermaksud nombor ke-2 sebelum nombor
yang ditolak.
Faham konsep Matematik tetapi lambat mencongak
Anak-anak dalam kategori ini memerlukan latih tubi yang kerap
dan perlukan pemantauan dari segi catatan masa untuk membantu mereka menguasai
kemahiran congak pantas. Kekerapan latih tubi dan tempoh masa yang diperlukan
bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan sejauh mana mereka mampu mencapai
atau sekurang-kurangnya menghampiri catatan masa yang ideal.
Cepat congak tetapi kerap salah
Anak-anak dalam kategori ini cenderung untuk bersikap cuai