Saturday, 27 June 2015

Sistem Pendidikan Kita Bermasalah?

ProPintar | 07:40 |
Bagaimana jika saya katakan pada usia 18 tahun, anak-anak belia tidak perlu menyambung pengajian ke peringkat Matrikulasi atau IPT, sebaliknya mereka sudah sedia berada dalam industri dengan kepakaran dan kemahiran yang diperlukan negara?

Mustahil? Tidak.

[1] Saya masih ingat ketika darjah 6, saya telah diberikan satu borang. Salah satu bahagian dalam borang berkenaan bertanyakan 3 cita-cita dan saya isikan 3 karier ini iaitu polis, bomba dan tentera. Jika saya diberikan pendedahan tentang dunia pekerjaan seawal usia 7 tahun, barangkali saya akan menggantikan 3 pilihan tadi dengan jurutera, pengurusan perniagaan dan IT (Information Technology).

[2] Jika selepas darjah 6, saya diberi pilihan untuk memilih bidang pengajian seperti di IPT, sudah pasti saya akan fokus dengan pengajian perniagaan dan perakaunan sedari usia 13 tahun. Selepas 5 tahun pengajian, saya sudah berusia 18 tahun dan sedia menjadi usahawan atau bekerja di syarikat swasta.

[3] Sistem pendidikan Malaysia perlukan satu revolusi yang praktikal. Jika langkah ini berani diambil, Malaysia mungkin akan mencapai sasaran negara maju lebih awal daripada tahun 2020.

[4] Kidzania adalah satu contoh platform ideal sebagai permulaan mendedahkan anak-anak dengan maklumat dunia pekerjaan dan karier masa hadapan. Dari situ sahaja kita mungkin boleh membantu anak-anak menetapkan sasaran karier pilihan dan mula fokus untuk mencapai matlamat tersebut.

[5] Ibubapa terkongkong dengan sistem pendidikan sediada yang berorientasikan peperiksaan dan akademik. Mereka hanya fokus kepada pencapaian ‘A’ dalam buku rekod sekolah sebagai penanda aras prestasi anak-anak. Bagaimana pula dengan anak-anak yang memperoleh ‘C’ dan ke bawah? Adakah mereka tiada masa depan? Ibubapa perlu ubah perspektif pendidikan di luar kebiasaan dan di luar sistem. Bagi anak-anak yang kurang menyerlah dalam akademik, kenalpasti minat mereka dan kenalpasti kursus-kursus yang dapat membantu menggilap bakat terpendam yang mereka minat.

[6] Seorang pelajar saya tidak mampu ingat sifir ketika usia 12 tahun. Tahap Matematik sangat lemah malah ‘kalah’ berbanding pelajar berusia 6 tahun. Tetapi saya kenalpasti kelebihan dia yang lain. Dia amat mahir berbahasa Inggeris dan suka berkongsi cerita tentang minatnya terhadap komputer grafik. Saya syorkan kepada ibubapa pelajar ini agar daftarkan anak mereka ke dalam kursus-kursus komputer dan grafik supaya minatnya boleh diasah awal dan mungkin menjadi pakar bidang komputer ketika usia rakan-rakan lain baru menjejak kaki ke universiti.

[7] Satu prinsip yang saya pegang, seseorang itu hanya akan menyerlah dan sangat komited dengan perkara yang dia minat sahaja. Apabila dia fokus, banyak idea-idea hebat akan terhasil!

[8] Allah sentiasa adil kepada makhlukNya. Anda dikurniakan anak-anak yang berbakat tetapi dalam bidang yang berbeza-beza.  Sistem pendidikan saat artikel ini ditulis masih berkiblatkan kepada satu aliran dan peluang yang terhad kepada generasi muda. Beranikan diri keluar dari kepompong itu.



Share this article
 
Hakcipta © 2015 ProPintar • Hakcipta Terpelihara.